Friday, 9 October 2015

AL-HUJURAT, 6-13




A006

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.


PENGAJARAN (Ayat 6)


1. Jangan mudah percaya khabar angin yang boleh mengaibkan orang lain.

2. Kita hendaklah meneliti dan mendapatkan kesahihan sesuatu berita dari sumber yang sah sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan berlakunya perasaan hasad dengki dalam kalangan masyarakat.

3. Kita mestilah menjauhi perkara atau berita yang meragukan. Hal ini kerana, ia akan mengakibatkan perpecahan kaum.

4. Bersegeralah untuk bertaubat dan memohon maaf kepada tuan punya badan kerana perbuatan memfitnah lebih keji daripada membunuh.




KESIMPULAN ( Ayat 6 )

Berdasarkan ayat ini, kami dapat simpulkan bahawa Rasulullah menyeru kita supaya kurangkan bercakap hal orang lain terutamanya melibatkan aib sesama muslim. Gosip atau berita yang datang boleh menjadi fitnah jika tidak mempunyai bukti atau asas yang kukuh. Sesungguhnya fitnah itu ibarat memakan daging saudara seislam dan dosanya sudah pasti lagi berat dari membunuh. Oleh itu, kita hendaklah menjauhi perbuatan keji ini. Orang Islam perlu kehadapan dengan melakukan perkara yang berfaedah dan memajukan Islam itu sendiri daripad melakukan gejala tidak baik ini kerana akhirnya ia akan merugikan diri dan mencemarkan nama baik Islam sebagai cara hidup kita.



A007

Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; 


PENGAJARAN ( Ayat 7 )

1. Kita hendaklah mencontohi perbuatan, percakapan dan perakuan baginda S.A.W. dalam apa jua urusan dalam kehidupan kita. 

2. Kita haruslah sentiasa melahirkan rasa syukur kerana setiap makhluk telah diberikan iman dalam hati mereka untuk menjauhi perbuatan yang mungkar agar sentiasa berada di jalan yang lurus.

KESIMPULAN ( Ayat 7 )

Kesimpulan yang kami peroleh dari ayat 7 ialah setiap yang dilakukan oleh Rasulullah adalah tepat dan benar belaka kerana ianya merupakan perintah dan amanah daripada Allah S.W.T. Hal ini kerana, kita sebagai manusia yang alpa sering melakukan kesilapan. Manakala, Raulullah itu seorang nabi yang maksum. Oleh hal yang demikian, setiap hamba yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah telah memperhiaskan iman di dalam hati mereka dengan cara menjauhi perbuatan yang fasik lagi mungkar untuk berada di jalan yang lurus.

A008

(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


PENGAJARAN ( Ayat 8 )

1. Kita hendaklah mengakui bahawa Allah itu Maha Pemurah, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

KESIMPULAN ( Ayat 8 )

Berdasarkan ayat ke- 8 , surah Al-hujurat, kami dapat simpulkan bahawa Allah itu bersifat Ar-Rahman ( Maha pemurah ) kerana Dia telah memberi nikmat dan kurnia kepada setiap hamba-Nya tanpa mengira agama. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
A009

Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.


PENGAJARAN ( Ayat 9 )
1. Kita hendaklah mengamalkan sikap saling bertoleransi untuk menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain kerana perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.
2. Kita hendaklah menyokong pihak yang mahukan kedamaian dan menghentikan pihak yang mahukan kekerasan. Hal ini kerana, keutamaan menghentikan kekerasan sesama muslim adalah dari hadis Rasulullah (SAW):
“Bantulah saudaramu samada yang zalim atau dizalimi”. Seorang sahabat Anas r.a. terkejut lalu bertanya “Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?” Rasulullah (SAW) menjawab “Bantulah dia dengan menghentikannya dari menzalimi” (riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula.

KESIMPULAN ( Ayat 9 )

Kami dapat simpulkan bahawa, ayat ini menekankan prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang.



A010

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


PENGAJARAN ( Ayat 10 )

1. Kita hendaklah mendamaikan dua saudara yang bertelingkah kerana orang-orang beriman itu bersaudara. 

KESIMPULAN (Ayat 10 )

Sesungguhnya, orang-orang yang beriman mempunyai ikatan persaudaraan yang kukuh. Oleh itu jauhilah pertelingkahan sesama kita.



A011
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.


PENGAJARAN ( Ayat 11 )

1. Janganlah mengamalkan sifat bangga diri atau riak serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya. Sifat sebegitu hanya dibenarkan dalam mendokong segala prinsip dan syariat Islam dan berasa bangga dengan lengkap dan sempurnanya Islam berbanding dengan agama yang lain, dan tidak merasa malu atau rendah diri mengenainya.
2. Janganlah kita mempersendakan orang lain seperti menghina, memalukan, memperlekehkan, mengutuk, mencaci dan seumpamanya.

KESIMPULAN ( Ayat 11 )

Dalam ayat ke-11 ini Allah (SWT) menetapkan dua larangan dalam konsep persaudaraan dalam Islam iaitu sifat riak dan suka mempersendakan orang lain.



A012

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


PENGAJARAN ( Ayat 12 )

1. Janganlah kita melakukan larangan Allah iaitu, bersangka buruk dan syak wasangka terhadap satu sama lain dalam persaudaraan .

2. Kita dilarang untuk mencari kesalahan dan aib orang lain.

3. Kita juga dilarang mengumpat orang lain kerana mengumpat itu diibaratkan memakan daging saudara yang telah mati. 

4. Hendaklah kita menjauhi larangan-larangan tersebut dan bertaqwa kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani.

KESIMPULAN ( Ayat 12 )
Dalam ayat ke-12 ini kesimpulan yang boleh kita peroleh ialah Allah melarang umat-Nya bersangka buruk sesama mereka, mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan mengumpat.

A013

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).



PENGAJARAN ( Ayat 13 )

1.    Kita hendaklah saling menghormati antara satu sama lain.
2.    Kita mestilah berusaha untuk  meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
3.    Kita haruslah saling membantu sesama manusia.

KESIMPULAN ( Ayat 13 )

Setiap manusia memiliki kedudukan yang sama di sisi Allah, kelebihannya hanya terletak pada kadar ketakwaannya.  Manusia diciptakan oleh Allah pelbagai jantina, bangsa dan puak agar saling mengenali antara satu sama lain.



No comments:

Post a Comment